7.11.12

Syair para Imam.

Antara kelebihan yang dikurniakan Allah Azza wa Jalla kepada Imam Syafie Rahimahullah adalah kehebatannya dalam bersyair. Imam Syafie banyak menghafal syair-syair dan matan-matan ilmu bahasa, menjadikan beliau sangat dalam ilmunya tentang syair dan sastera bahasa Arab.

Syair juga antara ranting(cabang) dalam PUISI. 

Alangkah indahnya, jika setiap puisi yang kita jahit, jahitannya kita sulam dengan benang Islam, perjuangan, ukhuwwah dan kecintaan kepada Rosul seperti yang disulam di dalam syair-syair Bahasa Arab dan qasidah-qasidah yang dilaungkan.

Syair-syair dalam Bahasa Arab ini jika diterjemahkan maknanya, maka indah beninglah bahasanya, lidah mengungkap tanpa gagap, hati mencurah-curah rasa sayu.

Sungguh.

Antara pengkarya syair yang paling saya gemari adalah Imam Syafie(Rahimahullah) dan syair yang paling kerap saya dengarkan adalah, syair 'Berkelanalah'.

Apa kata Imam Syafie dalam syairnya?

ما في المقامِ لذي عقلٍ وذي أدبِ مِنْ رَاحَة فَدعِ الأَوْطَانَ واغْتَرِبِ
سافر تجد عوضاً عمَّن تفارقهُ وَانْصِبْ فَإنَّ لَذِيذَ الْعَيْشِ فِي النَّصَبِ
إني رأيتُ وقوفَ الماء يفسدهُ إِنْ سَاحَ طَابَ وَإنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ
والأسدُ لولا فراقُ الأرض ما افترست والسَّهمُ لولا فراقُ القوسِ لم يصب
والشمس لو وقفت في الفلكِ دائمة لَمَلَّهَا النَّاسُ مِنْ عُجْمٍ وَمِنَ عَرَبِ
والتَّبْرَ كالتُّرْبَ مُلْقَى في أَمَاكِنِهِ والعودُ في أرضه نوعً من الحطب
فإن تغرَّب هذا عزَّ مطلبهُ وإنْ تَغَرَّبَ ذَاكَ عَزَّ كالذَّهَبِ

Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat # Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah,

Berkelanalah, engkau akan ketemui ganti kepada apa yang engkau tinggalkan # Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan.

Aku melihat air yang tenang bertakung, pastikan keruh # Sekiranya ialah mengalir, ia akan baik, sekiranya ia tidak mengalir, tercemar.

Singa sekiranya tidak keluar daripada kepompong dunianya, nescaya tidak akan membaham # Anak panah, kalau tidak berpisah dengan busurnya, nescaya tidak akan mengena sasaran.

Matahari sekiranya tidak bergerak daripada orbit selama-lamanya # nescaya akan bosanlah manusia, Arab dan ‘Ajam

Emas hitam (di dalam tanah lombong lagi) adalah sama seperti tanah biasa sekiranya tidak dikeluarkan # Dan kayu ‘aud (dibuat minyak wangi/gaharu-sic) sekiranya kekal di tanah, maka samalah seperti kayu biasa.

Jika (kayu ‘aud) itu dikeluarkan, maka hebat dan tinggilah permintaannya # dan jika (emas tanah hitam) itu dikeluarkan, maka hebatlah ia seperti (menjadi) emas.


 Syair Imam Syafie - Berkelanalah. Kelik 'Play', jauh sekali untuk timbul rasa menyesal dalam hati kalian.

:)



Suatu ketika Imam Syafie ditanya tentang dalil wujud Allah, maka jawabnya dalam sebuah syair,

"Allah. Rabb-ku, aku tidak menginginkan selain-Nya 
Apakah dalam wujud ini ada hakikat selain Dia.
Burung bertasbih kepada-Nya, sementara binatang liar
mengagungkan-Nya,
Ombak membesarkan-Nya, dan Yu bermunajat kepada-Nya,
Semut di bawah karang yang bisu mensucikan-Nya
Sementara lebah mengucapkan tahmid di sarangnya,
Sementara manusia bermaksiat kepada-Nya, tapi Dia menutupi
(aib) mereka
Dan hamba lupa, namun Allah tak pernah melupakannya."




Sebuah lagi syair Imam Syafie yang begitu halus perbicaraannya adalah diungkap beliau ketika ajal semakin hampir menemuinya, tanya muridnya "Bagaimana keadaan mu wahai guru?" , Jawab Imam Syafie "Aku telah bersiap-siap untuk meninggalkan dunia, meninggalkan para saudara dan teman, mulai meneguk minuman kematian, kepada Allah zikir terus terucap. Sungguh, demi Allah, aku tidak tahu, apakah jiwaku akan berjalan menuju syurga sehingga perlu aku ucapkan selamat atau sedang berjalan menuju neraka sehingga aku harus berkabung?" Lalu ia menangis seraya mengadu kepada Allah,

"Tatkala hatiku mula mengeras, sementara mazhabku mula menyempit,
Aku menjadikan satu-satunya harapanku tangga menuju kemaafan-Mu.
Dosa-dosaku mula membesar, maka tatkala aku bandingkan
Dengan pengampunan-Mu wahai Tuhanku, maka aku dapatkan
bahawa kemaafan-Mu jauh lebih besar
Selamanya Engkau adalah Zat yang Maha Pemaaf atas dosa-dosa,
Dan Engkau masih melimpahkan kemurahan hati untuk
memaafkan sebagai tanda kemurahan dan penghormatan."


***

Jika puisi tidak setanding syair para imam, tidak mengapa, malah sememangnya tidak mungkin akan layak untuk menandingi, kerna puisi kita ini, datang dari hati yang kotor penuh durjana, masakan bisa, apa yang terungkap, apa yang terluah, sempurna seperti bicaranya malaikat.

Teruslah berpuisi. Sulam Islam di dalamnya. Walau tiada manfaat buat orang tapi manfaat diri sentiasa bersinar. Biidznillah.

---


Allahummasolli'alasayyidinaMuhammad.
Semoga beroleh manfaat.
Hamba yang fakir lagi berhajat kepada Tuhan yang Maha Terkaya.
aljambz

Tiada ulasan: