21.9.14

Misi menyelamatkan gadis sunti aiskerim matkool kawanku

Adalah lebih kurang tiga empat hari yang lepas, aku keluar di tengah kepekatan malam menaiki pacuan dua roda aku demi mencari sesuap nasik atau lebih tepat lagi sesuap burger.

Sesampainya di kedai burger, aku parkir pacuan dua roda aku tepat-tepat depan kuali brader burger membuatkan brader burger kelihatan kurang selesa dengan kehadiran aku di sisi. Apa boleh buat, kadang-kadang waktu perut disergah lapor ini bukan kira apa dah.

"Benjo empat bang, lada lebih"

Brader burger tunduk setuju.

Sedang mata aku tertancap kemas melihat brader burger memutar sudip dan melipat telur, tiba-tiba lalu seorang gadis sunti bertudung bawal sambil di tangan kanannya memegang aiskerim matkool kawanku dan sekali-sekali aiskerim itu diisap(macam kurang sesuai saja bahsanya, haha) enak.

Di sebelah kedai burger, ada kedai makan, kecil sahaja warungnya. Dua orang pemuda (Ilahi?) sedang inzal pekena teh ais dan sambil-sambil mata mereka meliar ke segenap arah tak ketahuan hala. Sedang mata mereka liar, lalu gadis sunti aiskerim matkool kawanku yang tak berapa saat tadi melewati aku.

Mereka dengan pantas dan tanpa banyak berfikir panjang pun berkata,

"Amboi kerasnya aiskerim. Boleh ke gigit tu?? Ke nak abang tolong gigitkan."

 Aku yang lihat kejadian tersebut menghela nafas panjang.

Gadis sunti aiskerim matkool kawanku buat tak endah sahaja dengan seloroh dua pemuda (Ilahi?) tersebut. Cuma silapnya, endahan yang dibuat oleh gadis sunti itu benar-benar menyakitkan hati siapa sahaja yang melihatya. Mana tidaknya, dengan lirikkan mata yang memberi signal seolah-olah menyampah dan cebikkan bibir yang serupa spoiler bugati veyron itu, tentu sahaja akan mengundang kegeraman para jejaka yang tergila-gilakannya. Cantik beliau itu, dari sisi sahaja pun sudah ada rupa-rupa Neelofa, belum lagi jika dilihat dari depan. Aish, bila semua elemen itu digabungkan, siapa yang tidak geram? Orang kabor, geram-geram manja.

Aku yang masih stedi di atas motor tenang sahaja menunggu benjo aku siap.

Tiba-tiba, salah seorang pemuda itu bangun. Laju benar derapan lagkahnya menuju ke gadis sunti. Aku yang sudah boleh mengagak scene klise apa yang bakal berlaku selepas ini terus sahaja turun dari pacuan dua roda aku dan memasang kuda-kuda bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Aku lihat dari jauh, pemuda tersebut memegang tangan kanan gadis sunti tersebut dan merampas aiskerim yang dimakan oleh gadis tersebut dengan begitu rakus dan kasarnya. Dengan pantasnya aku berlari dan menempuh liku-liku warung tadi pergi menyelematkan gadis tersebut..... woooiii puakaa...


"Bang, bang, oo bang, burger dah siap bang."

Bahu aku dikelui oleh brader burger.

"......"



Sebaik sahaja aku membayar burger dan mengambil duit bakinya semula, brader burger pesan ke aku, "Lain kali bang, parking motor tu jauh-jauh sikit. Kuali ni panas bang."

Aku tersenyum dan bersalaman dengan brader burger tanda terima kasih atas nasihatnya.

---

Mujur kali ini hanya imaginasi aku sahaja yang pergi selamatkan gadis tersebut, kalau tidak sudah allahyarham aku kerjakan dua pemuda tersebut.

Kelihatan dari jauh, gadis sunti aiskerim matkool kawanku kekal stedi melangkah masuk ke dalam kereta nya dengan ais kerim matkool kawanku yang sudah selesai diisap, dilempar batang aiskerimnya ke dalam tong sampah. Dua pemuda (Ilahi?) tadi pula tenang sahaja menyambung keinzalan mereka bersama teh ais dan perlawanan Mencister Yunaited menentang Qiyu Pi Ar itu hari.

Aku pulang ke rumah dengan hati yang berbaur superhero.


Tiada ulasan: