6.12.12

Hikayat Pengobat Hati #1

InsyaAllah, slot Hikayat Pengobat Hati ini akan menceritakan serba sedikit kisah-kisah keajaiban firasat para Nabi, tabi' tabi'in dan alim/ulama' samada yang mutaqoddimin atau muta'akhirrin hasil serapan dari al-Quran, hadith dan kitab-kitab para ulama'. Sama-sama ambil pengajaran, sama-sama ambil ibarah. Mungkin ada kisah-kisah yang sudah biasa kita baca atau dengar, tapi anggap sahajalah ini sebagai ulangan langkah mengobat hati yang kian hari kian durjana ini(terutamanya hati ambe yang fakir lagi hina dina inilah).

Moga ada manfaatnya.

***

Dikisahkan setelah suami Rabiatul Adawiyyah meninggal dunia, maka Hassan al-Basri dan rakan-rakannya telah datang bertemu dengan Rabi'ah. Setelah mendapat kebenaran masuk, maka Rabi'ah pun menutup hijab dan Rabi'ah duduk dibelakang hijab.

Hasan al-Basri memulakan percakapan , "Wahai Rabi'ah sesungguhnya suamimu itu telah meninggal dunia, oleh itu kamu harus bersuami pula!"

Rabi'ah berkata , "Baiklah, siapakah diantara kamu yang paling alim, maka akan saya hambakan diri saya sebagai isterinya".

Lalu berkata sahabat-sahabat Hasan al-Basri , "Diantara kami yang paling alim ialah Hasan Basri". Kemudian Rabi'ah berkata, "Baiklah, kalau kamu dapat menjawab 4 soalanku ini maka aku akan menjadi isterimu".

Hasan al-Basri berkata, "Tanyalah, semoga Allah SWT akan menolong aku menjawab soalanmu".

Rabi'ah memulakan pertanyaan "Bagaimanakah pendapatmu jika saya mati dan keluar dari dunia ini, adakah saya keluar berbekalkan iman atau pun tidak?"

Kata Hasan al-Basri, "Itu adalah sesuatu yang ghaib dan yang tahu hanyalah Allah SWT Yang Maha Mengetahui".

Bertanya Rabi'ah lagi, "Bagaimana pendapatmu, kalau saya sudah ditidurkan dalam kubur dan ditanya oleh Munkar dan Nangkir, bolehkah saya menjawab soalan mereka itu?"

Jawab Hasan al-basri, "Itu adalah masalah ghaib hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui."

Rabi'ah bertanya lagi, "Apabila semua manusia sudah dihalau pada hari Qiamat dan bertebaranlah kitab-kitab catatan amal mereka, sebelah manakah kitab saya akan diberi, disebelah kanan atau kiri?".

Berkata Hasan al-Basri "Itu bun adalah soal ghaib"

Lalu Rabi'ah mengajukan soalannya yang terakhir, "Apabila manusia sudah diseru kelak, sebahagian ke syurga dan sebahagian lagi ke neraka, maka bahagian manakah saya akan berada?"

Jawab Hasan al-Basri, "Itu juga adalah hal ghaib".

Rabi'ah berkata, "Kalau seseorang itu sudah kabur dalam empat masalah ini, maka bagaimanakah dia akan menyibukkan diri dengan perkahwinan.

Berkata Rabi'ah, "Wahai Hasan, jawablah berapa bahagiankah Allah SWT menciptakan akal?"

Berkata Hassan al-Basri, "Sepuluh bahagian, yang sembilan bahagian untuk para lelaki dan yang satu untuk para wanita".

Setelah mendengar jawapan Hasan al-Basri maka Rabi'ah pun berkata "Allah SWT menciptakan syahwat juga sepuluh bahagian, sembilan bahagian adalah untuk kaum wanita dan satu bahagian adalah untuk kaum lelaki".

Akhirnya Rabi'ah berkata, "Wahai Hasan, saya boleh menjaga sembilan bahagian dari syahwat itu dengan satu bahagian akal, jadi mengpa kamu tidak boleh menjaga satu bahagian syahwat dengan sembilan bahgian akal".

Apabila Hasan Basri mendengar kata-kata yang cukup berkesan itu maka menangislah Hasan Basri dan terus keluar dari rumah Rabi'atul Adawiyyah.



[Dipetik dari kitab Miskaatul Anwar karangan Imam Ghazali]


Tiada ulasan: